Sambil mendobi, lepak minum kopi. Stail baharu servis 2 dalam 1 jadi tarikan kedai dobi

Arziana Mohmad Azaman

26 Jul 2023 03:00pm

DI MANA-MANA pun kita berada, tidak kira di kawasan pekan apalagi di bandar-bandar besar, kedai dobi memang banyak.

Bagi premis yang jenis layan diri, biasanya kemudahan seperti meja, kerusi atau perkhidmatan Wifi disediakan.

Namun, bagi dobi biasa, tiada apa pun yang istimewa. Sekadar menghantar pakaian dan berlalu pergi sahaja, sebelum datang kembali mengambil bungkusan.

Pernah melalui pengalaman sebegitu, usahawan muda, Amar Zamri, 29, mengambil inisiatif mengasaskan Kopi & Dobi di Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Amar ketika dihubungi berkata, baru tujuh bulan beroperasi, reaksi yang diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan, malah ada yang meluahkan rasa gembira dengan keselesaan yang diberikan.

Kepada SinarPlus, Amar berkata, hasrat untuk membuka kedai dobi (bukan layan diri) sudah lama terpendam, cuma masih tercari-cari kelainan yang boleh menarik perhatian pelanggan.

Akui dirinya seorang yang sangat menggemari minuman berasaskan kopi, anak kedua daripada tiga beradik itu mengambil inisiatif sendiri untuk belajar bersama rakan barista lain selama dua bulan.

"Lama juga saya mempraktikkan skil membuat kopi ini di rumah. Rupa-rupanya rahsia untuk menghasilkan kopi yang sedap memerlukan fokus dan teknik yang betul," katanya yang mengimport bijian (kopi) dari Brazil.

Daripada pelbagai jenis kopi, Spanish Latte dan Caramel Macchiato antara yang menjadi rebutan para pelanggan.

Kata Amar, tidak lengkap jika bersantai di ruang kafe hanya bertemankan minuman semata-mata.

"Ia akan lebih menarik jika pelanggan mencuba variasi pencuci mulut yang kami buat sendiri.

"Selain karipap, terdapat mufin dan pelbagai jenis pastri. Selepas menghantar atau mengambil cucian, boleh lepak dulu di premis kami ini," katanya.

Mengulas lanjut, Amar berkata, Kopi & Dobi juga menyediakan khidmat membersih untuk kelengkapan rumah seperti langsir, alas meja, sarung tilam, permaidani atau tilam nipis.

Jika tidak kesempatan untuk menghantar ke premis, pelanggan boleh menggunakan khidmat penghantaran yang disediakan tanpa mengira jarak lokasi.

"Alhamdulillah, saya lihat pendekatan bisnes ini ada potensi besar untuk diperluaskan.

"Jika tiada aral, saya merancang untuk menambah cawangan di lokasi lain pula," katanya.

#JOMSINGGAH

SESUATU yang agak baharu apabila kafe diwujudkan di kedai dobi biasa. Lazimnya, premis layan diri sahaja yang berbuat demikian.

Source : https://sinarplus.sinarharian.com.my/Lifestyle/sambil-mendobi-lepak-minum-kopi-stail-baharu-servis-2-dalam-1-jadi-tarikan-kedai-dobi